Ukhwah Fillah & YSAI Perkuat Kesedaran Anti-Dadah Melalui Seminar di Kota Batam”

StrightTimes – Ukhwah Fillah Singapura sekali lagi menganjurkan seminar kesedaran bahaya dadah di Kota Batam. Seminar ini merupakan siri ke-2 selepas siri pertama yang telah dijalankan pada Januari 2025.
Seminar siri ke-2 ini diadakan di dua lokasi, iaitu di Pesantren Al Ustmaniyah dan Pesantren Mudi Madani Batam. Seminar di Pesantren Al Ustmaniyah berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi dan dihadiri oleh lebih 300 orang santri. Antara yang hadir bagi menyampaikan pengisian seminar ialah Nur Azlinda dan Mohammad Hairi dari Ukhwah Fillah Singapura. Turut serta mewakili Yayasan Sahabat Ainon Ibrahim (YSAI) ialah Abdul Rahman Ibrahim dan Eko Istiyanto, yang sentiasa istiqamah dalam melaksanakan projek-projek amal. Pihak Pesantren Al Ustmaniyah pula diwakili oleh Ketua Yayasan, Ustaz Huda, dan Ketua Sekolah, Ustaz Hari.

Seminar ini berlangsung dengan lancar dan mendapat sambutan hangat daripada para santri. Selain itu, YSAI turut menyumbangkan 25 naskhah Mushaf Al-Qur’an wakaf yang diserahkan sendiri oleh pengasasnya, Abdul Rahman Ibrahim, kepada para santri Pesantren Al Ustmaniyah.
Ketua Yayasan, Ustaz Huda, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas penganjuran seminar ini yang amat bermanfaat kepada para santri sebagai generasi muda yang mempunyai masa depan panjang, terutamanya memandangkan bahaya dadah kini menjadi ancaman utama masyarakat.

Pada malam harinya selepas solat Isyak, seminar diteruskan di Pesantren Mudi Madani Batam dengan kehadiran sekitar 150 orang santri. Sebelum seminar bermula, para santri mempersembahkan seni Islam Hadrah sambil berselawat. Mewakili pesantren ialah Ustaz Rukhi dan Ustaz Saiful.
Ustaz Rukhi turut mengucapkan terima kasih atas penganjuran seminar yang sangat bermakna ini. Beliau menekankan bahawa santri bukan sahaja perlu mempelajari ilmu agama, tetapi juga pengetahuan tentang perkara yang boleh merosakkan masa depan mereka. Dalam seminar ini, YSAI turut menyumbangkan 25 naskhah wakaf Al-Qur’an kepada pesantren tersebut.


Nur Azlinda dan Mohammad Hairi dari Ukhwah Fillah menjelaskan bahawa dadah kini telah tersebar luas dalam masyarakat dan mempunyai pelbagai jenis yang membahayakan, khususnya kepada generasi muda. Tujuan seminar ini adalah untuk memberikan maklumat mengenai bahaya dadah, jenis-jenisnya dan cara-cara untuk menghindarinya. Seminar seperti ini akan diteruskan ke sekolah-sekolah menengah dan pesantren di Batam. Bagi pihak yang berminat untuk mengadakan seminar, boleh menghubungi YSAI di talian 08163686876.
Dalam kunjungan ini juga, Ukhwah Fillah turut menyerahkan 60 naskhah wakaf Al-Qur’an kepada Pesantren Salaf Al Falah Batam, yang diterima oleh Kyai Chadziq di Masjid Abu Bakar Kassim Batam.
Abdul Rahman Ibrahim dan Eko Istiyanto mewakili YSAI turut merakamkan penghargaan kepada Pesantren Al Ustmaniyah dan Pesantren Mudi Madani atas kesudian mereka menjadi tuan rumah seminar ini. Mereka berharap usaha ini akan memberikan manfaat besar kepada masa depan generasi muda. YSAI akan terus bekerjasama dengan Ukhwah Fillah Singapura dalam melaksanakan projek-projek kebajikan di Kota Batam.
Ukhwah Fillah Singapura dan Yayasan Sahabat Ainon Ibrahim mengajak generasi muda di Batam untuk sentiasa berwaspada dan menjauhi dadah. KATAKAN TIDAK KEPADA DADAH!